Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


"Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca dan rakan berketurunan Cina
Semoga Tahun Harimau ini akan membawa keamanan dan keadilan kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Khamis, 28 Januari 2010

Akuatrop bangunkan teknologi biakbaka Kelah

Keterangan gambar: Ini bukan Ikan Kelah biakbaka tetapi Ikan Kelah Merah Liar yang sukar diperolehi namun mampu ditunaikan impian penggemar ikan sungai apabila berkunjung ke Restoran Ikan Sungai di Desa Melawati.
Keterangan gambar: Biakbaka Kelah semakin mendapat perhatian

Keterangan gambar: Naib Censelor Universiti UMT, Prof Dr Aziz Deraman (depan) tertarik dengan penyelidikan Kelah yang dijalankan di kampus induk universiti berkenaan.


UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) merupakan antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA ) yang ulung dalam penyelidikan mengenai marin dan akuakultur.
Selain pembangunan projek Akuaponik satu lagi tumpuan Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) ialah penyelidikan kelah yang bermula pada 2007.
Ia sejajar dengan tumpuan dan bidang kekuatan universiti terbabit dalam penyelidikan pembiakkaan ikan kelah.

Kelah dipilih kerana ia merupakan spesies yang terancam, dan merupakan spesies ikan sungai semulajadi di Tasik Kenyir.

Malah, spesies berkenaan mempunyai potensi yang sangat tinggi pada aspek pelancongan, rekreasi, ternakan, industri ikan hiasan dan juga sumber protein manusia.

Kelah juga merupakan antara spesies yang bernilai tinggi seperti ikan kelisa dan arowana yang terkenal dalam aspek ikan hiasan.
Insitut yang diberi tanggungjawab dalam penyelidikan ialah Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) yang menjadi peneraju dalam penyelidikan dalam bidang akuakultur.
Menurut seorang penyelidik AKUATROP , Prof. Madya Dr. Abol Munafi Ambok Bolong, tujuan penyelidikan kelah itu ialah untuk program pemuliharaan dan pemeliharaan spesies.

"Habitat asal spesies ini telah diancam dan dilabelkan sebagai spesies terancam selain menghasilkan satu program teknologi pembiakbakaan dan pengurusan induk ikan kelah di Tasik Kenyir,'' kata beliau.

Penyelidikan tersebut juga bertujuan menjalinkan kerjasama antara pihak tempatan dan UMT dalam menjalankan program pemuliharaan dan pemeliharaan kelah di Tasik Kenyir.

Lebih penting untuk membangunkan ternakan ikan kelah dalam akuakultur di Malaysia dan juga menjadikan UMT sebagai pusat rujukan ke atas kajian ikan kelah.

Beliau yang menjalankan penyelidikan tersebut dengan dibantu oleh seorang pegawai sains dan dua penolong pegawai sains selain tiga pelajar sarjana berkata, spesies kelah yang terlibat dalam projek tersebut ialah Tor tambroides dan Tor dourenensis .

Lebih penting katanya, penyelidikan itu diharap dapat membantu penternak tempatan memelihara ikan kelah dengan menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul.

Pihaknya juga mahu supaya penyelidikan seumpama itu dapat membantu pengurusan ikan kelah di santuari kelah dari pelbagai aspek seperti pengurusan induk, pengurusan makanan, dan pengurusan kesihatan ikan kelah di Tasik Kenyir.

Setakat ini penyelidikan tersebut masih belum menerima sebarang pembiayaan dan sedang memohon bantuan kewangan melalui dana e-science dan juga Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Untuk jangka panjang projek pembiakbakaan itu diharapkan dapat menghasilkan program pengurusan ikan kelah yang betul dari pelbagai aspek.

Ini bermula daripada pengurusan induk, sistem ternakan, pemakanan, kesihatan ikan dan sebagainya bagi memudahkan penternak memahami dan mempelajari penternakan ikan kelah.

Menurut Abol Munafi, AKUATROP juga juga menjalankan kajian ke atas spesies lain dalam mempelbagaikan penyelidikan dan memperluaskan bidang kajian bagi memenuhi kehendak semasa.
Sebelum ini beliau terlibat dalam penyelidikan membiakbaka ikan ketutu. – sumber ihsan Utusan Malaysia/LAUPA JUNUS.

Khamis, 31 Disember 2009

Sejahtera Sepanjang Tahun Baru 2010


Salam sejahtera kepada semua rakan blog dan sahabat taulan…
Selamat menyambut 2010 disusuli gerhana bulan yang diharap dapat dirai kedatangan tahun harimau dengan berani dan melindungi anak genarasi masa depan.
Harapan saya agar dengan alaf 21 akan ceria dengan petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.

Selasa, 22 Disember 2009

Info Anda!


10 TAHUN LALU…
Peristiwa menarik sepanjang 1999

TABIR 2010 bakal menjelma beberapa hari lagi, meninggalkan deretan peristiwa pahit dan manis yang berlaku sepanjang 2009. Sebelum meninggalkan 2009, elok kita imbas kembali pelbagai peristiwa menarik yang meninggalkan kita 10 tahun lalu.

Apa yang berlaku sepuluh tahun lalu, disiarkam di bawah ini. Selamat datang Tahun 2010 yang juga mempunyai berbagai peristiwa berlaku sepuluh tahun lalu...

1. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad lancar duit syiling emas peringatan 2009 sempena kedatangan alaf baru yang mempunyai nilai muka RM500 setiap satu.

2. Rakyat Malaysia pertama mengelilingi dunia secara solo, Datuk Azhar Mansor. Beliau mula belayar 2 Februari 1999, sejauh 40,000km selama 190 hari. Beliau juga merupakan pelayar pertama menggunakan laluan Timur-Barat.

3. Penjelajahan Kutub Utara – 2 orang adik beradik, Justin Maurice Read dan Gerald Malcolm. Read merupakan anak Malaysia pertama menjejakkan kaki ke Kutub Utara. Mereka tiba pada 19 April 1999 setelah berjalan sejauh 111km pada suhu -10 hingga -30 darjah celcius di bawah paras beku.

4. Penerjunan dari Menara Kuala Lumpur - Dua penerjun tempatan, Leftenan (B) A Aziz Ahmad dan Kapten (B) Abdul Rahmat Omar, mencatat sejarah apabila menjadi kumpulan pertama melakukan penerjunan Base dari ketinggian 300 meter di Menara Kuala Lumpur, pada 4 Oktober 1999.

5. Litar Antarabangsa Sepang - Pada 15 - 17 Oktober 1999, Malaysia buat kali pertama telah menganjurkan acara paling berprestij dalam sukan lumba motor iaitu Kejohanan Dunia Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang.

6. Penyelidikan di Antartika – Empat anak Malaysia jadi saintis pertama dunia berjaya mengumpul sampel bahan organik dan bukan organik di utara Antartika pada Oktober 1999.

Mereka menjalankan penyelidikan mengenai perbandingan pencemaran udara di Antartika dan kajian lapisan udara permukaan benua tersebut memandangkan kawasan tersebut mempunyai atmosfera paling bersih berbanding dengan tempat yang dipenghuni oleh manusia di dunia ini.

Antara yang terlibat adalah Prof Madya Dr Azizan Abu Samah, Prof Madya Dr Nik Mariam Sulaiman, Prof Madya Dr Nor saadah Abdu Rahman dan Prof Madya Dr Mohd Radzi Abas.

7. Rosyam Nor, pelakon filem Lenjan menang anugerah Best Supporting Actor di 44th Asia Pacific Film Festival di Bangkok, Thailand, pada 21 hingga 27 November 1999. Inilah trofi tunggal dimenangi negara dalam festival ini.

8. Festival Filem Malaysia (FFM) ke-14 di Hotyel Syuen, Ipoh, Perak pada 5 November 1999. Anugerah Panca Delima menjadi milik Jogho sebagai filem terbaik, U-Wei (sutradara terbaik), Khalid Salleh (pelakon lelaki terbaik filem Jogho), Rosyam Nor (Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik filem Puteri Impian), Amy Mastura (pelakon wanita terbaik filem Puteri Impian), Aliah Lee (Pelakon pembantu wanita filem Bara), U-Wei (lakonlayar terbaik filem Jogho), Saari Amri (skor musik terbaik filem Lenjan), Eizlan Yusof (pelakon harapan lelaki terbaik Puteri Impian), Nasha Aziz (Pelakon harapan wanita terbaik filem Perempuan Melayu Terakhir), Ismail Yaakob (sutradara harapan filem Bara)

9. Siti Nurhaliza menang Juara Pertandingan Lagu-Lagu di Shanghai, China.

10. Dayang Nurfaizah muncul dengan album solo pertamanya berjudul Dayang Nurfaizah terbitan NSR Records.

11. Dhalan Zainuddin menjadi artis pertama rakaman Sony Music muncul dengan album yang diterbitkan dalam bentuk CD. Album tersebut berjudul Diam-Diam Rindu.

Jumaat, 18 Disember 2009

Mesej PM



Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Khamis, 17 Disember 2009

Sedutan Akhbar!

Liyana Jasmay Jelas Isu Restoran Terlalu Mahal

PELAKON dan penyanyi Liyana Jasmay menafikan Restoran Ikan Sungai di Desa Melawati yang didakwa menjual makanan terlalu mahal itu adalah miliknya.

Sebaliknya restoran yang terkenal dengan menu 10 jenis ikan sungai itu merupakan milik bapanya, Jasmay Shah, 56, yang diusahakan di bawah syarikat Besta Corporation Sdn Bhd sejak November 2008.

Oleh sebab itu, gadis berusia 20 tahun ini berkata dia tidak layak untuk menjawab isu harga makanan yang dianggap mahal di restoran itu.

"Saya tidak layak memberikan komen kerana restoran itu tiada kena-mengena dengan saya. Jadi, saya tidak tahu kenapa harga makanan di restoran itu terlalu mahal.

"Tetapi saya memang tahu yang harga makanan di situ agak mahal. Nasihat saya, kalau rasa restoran itu mahal, jangan paksa untuk datang makan di situ...," jawab Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Nana ini.

Jelas Liyana, dia menganggap mungkin harga makanan di situ agak mahal kerana jenis ikan sungai yang digunakan.

"Saya sekeluarga memang penggemar ikan sungai. Kami pernah makan ikan sungai di sebuah restoran di Pahang. Harga makanan di restoran itu juga mahal kerana menggunakan ikan-ikan sungai yang segar.

"Walaupun harganya mahal, kami tetap berpuas hati kerana ikan itu memang sedap.

“Sama seperti restoran bapa saya, ia lebih menjual makanan Melayu kampung seperti ikan-ikan sungai segar yang jarang ada di setengah restoran lain.

“Lagipun restoran bapa saya bukan seperti gerai di tepi jalan,” kata pelakon filem Papadom ini.

Tambah penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta ini lagi, “Mungkin orang ingat makanan Melayu ni murah dan makanan barat adalah mahal.”

Dalam pada itu, ibu Liyana, Habsah Simpon, 52, yang lebih arif tentang restoran milik suaminya itu berkata harga makanan mahal disebabkan oleh kesukaran mendapatkan ikan-ikan sungai dari Sungai Pahang dan Sungai Perak itu.

“Ikan-ikan sungai ini merupakan ikan sungai liar yang segar dan bukannya ikan yang dibela dalam sangkar.

“Restoran itu dibuka untuk peminat-peminat ikan sungai. Antara ikan sungai yang boleh didapati di restoran ini adalah Ikan Nanas, Ikan Tengalan, Ikan Kerai dan Ikan Sebarau.

“Ikan Patin pun ada pelbagai jenis dan lebih mahal. Ikan lain yang mahal iaitu dicaj RM35 per 100gm untuk seorang makan seperti Ikan Tengalan, Ikan Sebarau dan Ikan Kerai,” jelas Habsah.

Walaupun mahal, namun restoran itu menjanjikan makanan yang sedap dan menyelerakan dengan menu istimewa seperti ikan masak asam, ikan masak tempoyak, ikan goreng, ikan bakar termasuk beberapa jenis masakan kampung yang lain oleh Chef Kamarul Arifin.

Chef Kamarul merupakan rakan baik selaku rakan kongsi perniagaan di restoran itu.

Di restoran itu juga terdapat poster gambar dan maklumat 10 jenis ikan sungai untuk tujuan pendidikan.

Restoran itu beroperasi pada waktu makan tengah hari iaitu dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang dan disambung semula pada pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam.

Restoran Ikan Sungai terletak di No.11, 2/C, Desa Melawati, Kuala Lumpur.

Ujar Habsah lagi, syarikat Besta Corporation telah beroperasi lebih 10 tahun lalu setelah suaminya mengambil alih syarikat itu. Syarikat itu juga membekalkan makanan di hospital-hospital. - oleh SITI AZIRA ABD AZIZ (mStarOnline)

Selasa, 8 Disember 2009

Keratan Akhbar!


Resipi Dapur Selebriti Edisi 1048 - Heliza AF5
Rendang Ayam Kampung Cili Padi @ Ila Sayang Ku

Terima kasih kepada Chef Kamarul Ariffin dari Restoran Ikan Sungai, Desa Melawati yang menyediakan resipi istimewa Rendang Ayam Kampung Cili Api @ Ila Sayangku, ini.
Dan tahniah kepada Restoran Ikan Sungai yang menyambut ulang tahun pertama awal Disember lalu.
Kini sepanjang Disember, promosi makan ikan sungai diadakan dengan harga istimewa kepada semua pengunjung.
Selamat meratah ikan sungai liar, satu-satunya di restoran menyajikan hidangan masakan kampung berasaskan ikan sungai.